news

Destini Bangsa - Khairy Jamaluddin

Pernah kubaca nukilan si Usman,

Melayu itu pengembara lautan,

Melorongkan jalur sejarah zaman,

Kaya dengan falsafah, bangsa yang bijaksana,

Tetapi beraninya bila bersalah,

Kecut takut kerana benar,

Melayu itu kuat bersorak,

Terlalu ghairah pesta temasya,

Melayu itu sering bermimpi,

Lantas terus berdagang di rumah sendiri,

Usman tinggalkan dengan persoalan,

Bagaimanakah Melayu abad ke-21,

Menjadi tuankah di negara Merdeka?

Mengimbau aku kepada pengkisahan ayahku,

Bahawa berabad yang lalu,

Melayu itu darahnya pahlawan,

Tangkas bertempur,

berani ke depan,

Melayu itu nafasnya pengembara,

Merentas lautan meredah gelora,

Melayu itu jiwanya pedagang,

Pintar berniaga, mengutip hutang,

Melayu itu akalnya pentadbir,

Bijak mengurus, hemah bersifir,

Melayu itu nadinya pemimpin,

tegasnya dihormati, bijaksana terjamin,

Melayu itu mindanya terbuka,

Yakin diri, tak gentar apa,

Melayu itu mendahaga ilmu,

Rajin belajar, tak kenal malu,

Melayu bersahabat seantero dunia,

Banyak memberi, banyak juga menerima,

Melayu bertunjang kukuh pada agama,

Memartabat Islam di Nusantara dan dunia,

Namun di bawah nafasnya, bercerita ibuku,

Realiti diutara terpentung aku,

Melayu itu yakinnya kerana Bumiputera,

Yang datang bersama hak dan darjat berjela,

Agar maruah dan nasibnya terbela,

Sehingga kita lalai dan alpa,

Melayu masih berpegang pada adatnya,

Tetapi lebih menghalang dari membina,

Melayu itu kekadang seakan bertopengkan agama,

Untuk menjatuh hukum, dan bukan ketamadunannya,

Melayu itu, atas nama cintakan bahasa kononnya,

Yang bicara Inggeris, habis dicemuhnya

Melayu itu kepohnya selalu,

Orang keliling dijeling intai bertalu,

Baju apa, kereta apa, semua nak tahu,

Ditanya misi sendiri lidahnya kelu,

Disoal visi langsung tersipu-sipu,

Melayu baharu, televisyen menjadi tatapan,

Namun buku berhabuk tersimpan,

Melayu baharu dengan selebriti, berpisah tiada,

Dengan Sains dan Matematik, berpisah sentiasa,

Melayu itu diusik tongkatnya terus berang,

Kerja ditinggal asal bangsa menang perang,

Ukur kejayaan dengan statistik ekonomi kumpulan bawah,

Nak kejar kejayaan katanya leceh, perlu usaha dan banyak kerenah,

Jauh di lubuk hatiku terdetik,

Adakah ini nilai bangsaku, benarkah ini namanya Melayu,

Ke mana hilangnya sebuah bangsa yang gagah dan disegani, satu ketika dulu,

Sampai bila bangsaku ingin bertongkat,

Sampai bila alasannya agama dan adat,

Adakah Melayu akan begini akhirnya,

Bahawa kegemilangan Melayu Melaka, hanya di lipatan sejarah jua,

Maka kutitipkan kepada anakku,

Akan impian dan harapanku untuk satu hari nanti,

Bangsaku ini akan kembali megah berdiri,

Memegang kukuh lebih separuh ekuiti,

Gagah di puncak bukan kerana di tongkat, tapi kerana merit sendiri,

Menjadi majikan pilihan, disegani, diyakini, dihormati,

tidak hanya bergantung kepada GLC,

Bangsaku nanti penuh dengan keyakinan,

Siapapun lawan kita tak gentar berdepan,

Berpaksikan akal, ilmu, dan iman,

Adat dan agama diangkat bangga, bukan alat persembunyian,

Tamadun Islam baru kita cipta dan terajui,

Identiti Islam moden dan progresif, biar kita yang definisi,

Ibnu Sina Ibnu Rushd di kalangan kita, bukan lagi mimpi,

Biar tokoh sains tokoh teknologi dunia, di kalangan anak Melayu sendiri

Hari ini Nusantara tidak lagi hanya sejarah dan nostalgia,

Tetapi pemacu ekonomi dunia dan kekukuhan agama,

Justeru bangkitlah, mari kita terajuinya,

Kerana kekuatan bukan tertakluk kepada saiz dan angka,

Disegani bangsa serumpun, kita bangkit menggegar benua,

Melayukan gagah di nusantara, mengemudi imej Islam di mata dunia.

Tetapi kubilang juga kepada anakku,

Mengejar impian ini jalannya berliku,

Perlu nekad dan kental jiwa raga bangsaku,

Maka kutitipkan pesanku,

Jika cita-citaku juga cita-citamu,

Jangan leka membiarkan kesempatan berlalu,

Dek bertemasyakan kejayaan dulu,

Kerana peluang bukan hadir selalu

Ubah sikap dan minda, galas tekad di bahu,

Berhentilah merasa diri ditindas, dan seolah semua memusuhimu,

Buangkan prasangka dan prejudisme, terhadap dunia dan sekelilingmu

Memang sentiasa ada musuh

dan lawan,

Tapi bukankah kehidupan ini satu perjuangan,

Tidaklah kejayaan namanya jika tiada halangan,

Tetapi perkasakan akal dan jiwa, melangkahlah ke hadapan

Jadilah kita bangsa terbuka,

Cadangan kritikan jangan dimurka,

Jadilah kita bangsa rasional,

Berfikiran matang berjiwa kental,

Jadilah kita bangsa berani,

Kaum yang lain jangan dikhuatiri,

Jadilah kita bangsa yang bangga,

Tak perlu bertongkat untuk berjaya,

Jadilah kita bangsa inklusif,

Melayu macam mana pun kita tak sisih,

Jadilah kita bangsa masa depan,

Kejayaan dirai memangkin kemajuan,

Jadilah kita bangsa yang menang,

Jangan gentar mencuba, dek takut kekalahan,

Jadilah kita pejuang agama,

Menegakkan Islam ke serata dunia,

Jadilah kita bangsa setiakawan,

Hasad dengki hanyutkan ke lautan,

Kembalikan Melayu sebagai bangsa bermartabat,

Kuasa digenggam bertunjangkan ilmu dan syafaat,

Hidup Melayu, Hidup Melayu, Hidup Melayu!

Most Popular
Related Article
Says Stories